Pusat kawalan sehenti: Google Account

Stephan Micklitz dan Jan Hannemann meggunakan masa bertahun-tahun untuk membangunkan alatan yang membolehkan pengguna menentukan jenis data yang ingin dikongsi dengan Google dan jenis data yang ingin dirahsiakan

Apabila Stephan Micklitz memberitahu orang bahawa beliau bekerja di Google, beliau sering ditanya “mengapa anda memerlukan begitu banyak data?” Jawapan yang diberikan olehnya: “Data boleh menjadikan produk Google lebih berguna kepada anda — seperti menyampaikan hasil carian anda dalam bahasa yang tepat atau mengesyorkan laluan yang paling pantas untuk pulang ke rumah. Akan tetapi saya sentiasa menegaskan bahawa anda boleh memilih cara Google menyimpan data anda dan sama ada kami menggunakan data tersebut untuk menyesuaikan produk kami dengan anda atau tidak. Biasanya orang mahu melihatnya sendiri sebelum mereka percaya kata-kata saya!”

"Kami mahu memperibadikan perkhidmatan ini dan menjadikan reka letaknya lebih jelas."

Jan Hannemann

Micklitz telah bekerja di Google sejak tahun 2007. Beliau merupakan salah seorang kakitangan pertama di Munich. Beliau tidak menunggu lama untuk mengambil peranan utama dalam topik yang berkaitan keselamatan dalam talian dan privasi data. Sejak tahun 2010, Micklitz telah mengetuai pembangunan global bagi beberapa produk Google yang kritikal untuk mempertingkatkan keselamatan dalam talian dan privasi. Beliau percaya bahawa tindakan menempatkan ibu pejabat jabatan ini di Jerman pada tahun 2008 merupakan langkah yang bijak di pihak Google. “Google mahu berada di tempat privasi dibincangkan secara paling intensif,” kata Micklitz.

Sejak itu, banyak perkara telah berlaku. Perkara yang paling penting, pada 25 Mei 2018, Peraturan Perlindungan Data Umum (GDPR) Kesatuan Eropah dikuatkuasakan. GDPR mengawal selia penggunaan dan penyimpanan data peribadi. Micklitz masih ingat detik pada tahun 2016 apabila beliau dan rakan sekerjanya mula-mula membaca undang-undang tersebut. “Jelas sekali bahawa banyak kawalan dan alatan yang kami bina telah pun sejajar dengan GDPR -- tetapi kami juga masih ada kerja yang perlu dilakukan,” katanya. Sekarang, beliau membawa saya ke bilik persidangan tempat beliau akan menemui rakan sekerjanya, Jan Hannemann.

Pengarah Kejuruteraan Stephan Micklitz (kiri) bertanggungjawab terhadap privasi dan keselamatan global di Google. Beliau mengambil jurusan sains komputer di Universiti Teknikal Munich dan telah bekerja di pejabat Google di Munich sejak penghujung tahun 2007.

Google melancarkan alat privasi data pertamanya, Google Dashboard, pada tahun 2009. Micklitz dan pasukannya bertanggungjawab terhadap pembangunan Google Dashboard. Dalam tempoh beberapa tahun, pelbagai fungsi tambahan telah ditambah. Bermula pada tahun 2013, pengguna telah dapat mengurus warisan digital Google mereka dengan Pengurus Akaun Tidak Aktif; pada tahun 2014, Pemeriksaan Keselamatan telah ditambah, diikuti dengan Semakan Privasi pada tahun 2015. Alatan baharu ini membimbing pengguna meneliti tetapan privasi dan keselamatan data mereka langkah demi langkah.

Pada tahun 2015, My Account telah dilancarkan, yang menghimpunkan semua perkhidmatan Google. Buat kali pertama, pengguna mempunyai pusat kawalan sehenti yang membolehkan mereka melihat data peribadi mereka yang disimpan oleh Google, membuat keputusan mereka sendiri tentang maklumat yang ingin dipadamkan dan mematikan fungsi yang menyimpan data dan menjejaki aktiviti dalam talian. Pengguna juga boleh menarik diri daripada iklan diperibadikan. My Account terus-menerus dikembangkan dan diperbaik dari saat perkhidmatan ini dilancarkan.

"Penting bagi kami untuk memastikan setiap pengguna boleh memilih maklumat yang dibenarkan untuk disimpan oleh Google."

Stephan Micklitz

Pada Jun 2018, perkhidmatan ini telah dirombak dan My Account menjadi Google Account. Bersama Stephan Micklitz, Pengurus Produk Jan Hannemann bertanggungjawab terhadap pelancaran semula tersebut. Hannemann merupakan lulusan PhD dalam bidang sains komputer dan telah bekerja di pejabat Google di Munich sejak tahun 2013. Beliau membantu membangunkan My Account dan bertanggungjawab terhadap Google Account hingga hari ini. Rakan sekerjanya juga telah memberinya nama panggilan “Mr. Google Account.”

Hannemann menjelaskan reka bentuk baharu Google Account menggunakan telefon pintarnya. “Kami mahu memperibadikan perkhidmatan ini dan menjadikan reka letaknya lebih jelas – terutamanya untuk penggunaan pada peranti mudah alih yang mempunyai skrin yang lebih kecil.” Stephan Micklitz mengambil telefon pintarnya sendiri dan membuka Google Account. “Apabila saya menjalankan perkhidmatan ini, perisian ini menawarkan pilihan untuk menjalankan Pemeriksaan Keselamatan, sebagai contoh,” jelasnya. “Di sini saya dapat melihat dengan serta-merta sama ada Google mempunyai sebarang cadangan tentang cara saya boleh meningkatkan keselamatan Google Account saya.”

Jan Hannemann (kiri) merupakan Pengurus Produk Google Account, yang dahulunya dikenali sebagai My Account. Perkhidmatan ini ialah pusat kawalan sehenti untuk pengguna, yang membolehkan mereka menyemak keselamatan dan privasi data mereka.

Micklitz dan Hannemann membangunkan sebahagian besar produk mereka berdasarkan tinjauan Google tentang cara orang di seluruh dunia menggunakan perkhidmatan individu dan sikap umum mereka. “Orang Eropah - khususnya orang Jerman - selalunya lebih ragu-ragu apabila melibatkan penggunaan data peribadi mereka berbanding orang Amerika,” kata Hannemann. “Sudah tentu, ia ada kaitan dengan sejarah kami.” Tidak semua pengguna menentang penyimpanan data mereka. “Sesetengah orang mendapati sangat praktis apabila telefon pintar mereka mengingatkan mereka sudah tiba masanya untuk bertolak ke lapangan terbang,” kata Hannemann. “Orang lain menghargai ciri autolengkap, yang membolehkan enjin carian meramalkan istilah carian sebenar mereka. Ciri ini dan pelbagai ciri lain hanya dapat dihasilkan apabila orang membenarkan kami menggunakan data mereka untuk menyesuaikan produk kami untuk mereka.

Kata Stephan Micklitz, apabila bercakap tentang privasi, tidak mungkin akan ada satu penyelesaian tunggal yang seragam. Ini sebahagiannya disebabkan oleh hakikat bahawa setiap orang adalah individu dan keperluan pengguna berubah seiring dengan berlalunya masa. “Penting bagi kami untuk memastikan bahawa setiap pengguna boleh memilih maklumat yang dibenarkan untuk disimpan oleh Google. Kami terus-menerus mengasah alatan kami untuk merealisasikan perkara itu.”

Fotograf: Conny Mirbach

Kemajuan keselamatan siber

Ketahui cara kami memastikan lebih ramai pengguna selamat dalam talian berbanding dengan pihak lain di dunia.

Ketahui lebih lanjut