Maklumat dan kandungan
yang boleh dipercayai.

Di Google, tujuan kami adalah untuk mengimbangi antara penyampaian maklumat dengan usaha untuk melindungi pengguna dan masyarakat. Kami mengambil serius tanggungjawab ini. Matlamat kami adalah untuk menyediakan akses kepada maklumat dan kandungan yang boleh dipercayai dengan melindungi pengguna daripada bahaya, menyampaikan maklumat yang andal dan bekerjasama dengan pakar serta organisasi untuk mewujudkan Internet yang lebih selamat.

Melindungi anda daripada bahaya.

Kami memastikan anda dan seluruh masyarakat selamat dengan perlindungan lanjutan yang bukan sekadar mencegah, malah mengesan dan bertindak balas kepada kandungan yang berbahaya dan menyalahi undang-undang.

Halang

Mencegah penyalahgunaan

Untuk memastikan pengguna selamat daripada kandungan kesat, kami menggunakan perlindungan yang bersandarkan AI. Gmail menyekat hampir 10 juta e-mel spam secara automatik daripada peti masuk pada setiap minit dan Search menyediakan alat untuk menghalang Autolengkap daripada mencadangkan pertanyaan yang berkemungkinan berbahaya. Pengesan automatik membantu YouTube mengalih keluar kandungan berbahaya dengan cekap, berkesan dan secara besar-besaran - pada S2 tahun 2023, 93% video yang melanggar dasar dan dialih keluar daripada YouTube mula-mula dikesan secara automatik. Kami juga melaksanakan langkah keselamatan dalam alat AI generatif kami untuk meminimumkan risiko alat tersebut digunakan untuk membuat kandungan berbahaya.

Di samping itu, setiap produk kami dikawal oleh set dasar yang menggariskan kandungan dan gelagat yang diterima dan tidak boleh diterima. Dasar kami sentiasa diasah dan dikemaskinikan untuk menangani risiko yang baru timbul. Apabila melibatkan kerja kami dalam AI, kami juga bergantung pada Prinsip AI kami untuk membimbing pembangunan produk dan membantu kami menguji dan menilai setiap aplikasi AI sebelum dilancarkan.

Kesan

Mengesan kandungan berbahaya

Tatkala taktik pelaku jahat berubah, kita mestilah meningkatkan usaha untuk mengesan kandungan berbahaya yang menyusupi produk kita. AI membantu kami melakukan pengesanan penyalahgunaan pada skala besar merentas platform kami. Pengelas yang dikuasakan AI membantu kami membenderakan kandungan yang berisiko untuk dialih keluar atau dikemukakan kepada jurusemak. Pada tahun 2022, penguatkuasaan automatik membantu kami mengesan dan menyekat lebih 51.2 juta iklan yang mengandungi pertuturan berunsur kebencian, keganasan dan dakwaan kesihatan yang berbahaya. Di samping itu, Model Bahasa Besar, iaitu sejenis AI yang inovatif, telah menunjukkan potensi untuk mengurangkan masa yang diambil untuk mengesan dan menilai bahan berbahaya secara eksponen, terutamanya daripada risiko yang baharu dan yang baru timbul.

Kami juga bekerjasama dengan organisasi luar yang membenderakan kandungan yang dianggap berkemungkinan berbahaya. Google dan YouTube menerima maklum balas daripada ratusan Pembendera Utama, iaitu organisasi dari seluruh dunia dengan kepakaran budaya dan isi kandungan yang mengemukakan kandungan kepada kami untuk disemak.

Balas

Bertindak balas dengan sewajarnya

Kami bergantung pada manusia dan teknologi yang dipacu AI untuk menilai risiko pelanggaran dasar dan bertindak balas dengan sewajarnya kepada kandungan yang dibenderakan. Apabila kandungan melanggar dasar kami, kami boleh mengehadkan, mengalih keluar, menyahwang atau mengambil tindakan pada peringkat akaun untuk mengurangkan penyalahgunaan pada masa hadapan.

Pada tahun 2022, Google Maps menyekat atau mengalih keluar lebih 300 juta kandungan palsu, 115 juta ulasan yang melanggar dasar dan 20 juta cubaan membuat Business Profile yang palsu. Pada S2 tahun 2023, YouTube mengalih keluar lebih 14 juta saluran dan 7 juta video kerana melanggar Garis Panduan Komuniti kami.

Untuk menilai konteks dan nuansa di samping mengurangkan risiko pengalihan keluar yang berlebihan, kami bergantung pada sekitar 20 ribu jurusemak terlatih kami yang pakar untuk memegang pelbagai peranan dalam pelaksanaan dasar, penyaringan kandungan dan penilaian kandungan yang dibenderakan merentas produk dan perkhidmatan Google.

Sekiranya pencipta atau penerbit berpendapat bahawa kami telah melakukan kesilapan, mereka boleh membuat rayuan terhadap keputusan kami.

Menyampaikan maklumat yang boleh dipercayai.

Kami mewujudkan keyakinan terhadap maklumat dan kandungan pada platform kami dengan menyampaikan maklumat yang boleh dipercayai dan alatan terbaik yang memberi anda kawalan terhadap penilaian kandungan.

Cara kami menyusun maklumat

Algoritma pintar

Algoritma kami yang sentiasa dikemaskinikan menjadi teras bagi segala yang kami lakukan, contohnya produk seperti Google Maps dan hasil carian Search. Algoritma ini menggunakan Model Bahasa Besar dan isyarat yang canggih seperti kata kunci atau laman web di samping kebaharuan kandungan agar anda dapat menemukan hasil carian yang paling relevan dan berguna. Sebagai contoh, YouTube memaparkan kandungan yang bermutu tinggi daripada sumber yang berwibawa dalam hasil carian, syor dan panel maklumat secara ketara untuk membantu pengguna menemukan berita dan maklumat yang kena dengan masanya, tepat dan berguna.

Alat untuk membantu anda menilai kandungan

Kami mewujudkan berbilang ciri untuk membantu anda memahami dan menilai kandungan yang dipaparkan oleh algoritma dan alatan AI generatif kami, sekali gus memastikan anda mempunyai lebih banyak konteks berkenaan dengan perkara yang dilihat dalam talian.

Mengurus Kandungan Secara Bertanggungjawab pada YouTube

YouTube beriltizam untuk memupuk platform bertanggungjawab yang boleh diharap oleh komuniti kami, yang terdiri daripada penonton, pencipta dan pengiklan.
Ketahui lebih lanjut tentang pendekatan kami.

Bekerjasama untuk mewujudkan Internet yang lebih selamat.

Kami bekerjasama, memaklumkan dan berkongsi sumber dan teknologi kami secara proaktif dengan pakar dan organisasi.

Berkongsi Pengetahuan

Bertukar pengetahuan untuk memastikan anda selamat

Kami bekerjasama dengan pakar daripada masyarakat sivil, dunia akademik dan kerajaan untuk menangani masalah global seperti maklumat salah, keselamatan iklan, kewibawaan pilihan raya, AI dalam penyaringan kandungan di samping memerangi eksploitasi kanak-kanak dalam talian. Kami turut menerbitkan penemuan penyelidikan dan menyediakan set data kepada ahli akademik untuk memajukan bidang ini dengan lebih lanjut.

Pada YouTube, kami sering merujuk Majlis Penasihat Belia dan Keluarga kami yang merupakan organisasi bebas tentang kemaskinian produk dan dasar, termasuk Prinsip Belia, serta serangkaian kemaskinian produk yang tertumpu pada kesihatan mental dan kesejahteraan remaja.

Berkongsi Isyarat

Bekerjasama dengan pakar untuk memerangi kandungan yang menyalahi undang-undang

Kami turut bekerjasama dengan rakan kongsi untuk membongkar dan berkongsi isyarat kandungan kesat yang jelas untuk membolehkan pengalihan keluar kandungan daripada ekosistem yang lebih luas. Kami berkongsi jutaan cincang CSAM dengan Pusat Negara AS bagi Kanak-kanak Hilang dan Dieksploitasi setiap tahun. Kami juga menyertai Project Lantern, iaitu program yang membolehkan syarikat teknologi berkongsi isyarat dengan cara yang selamat dan bertanggungjawab. Selain itu, YouTube merupakan pengasas bersama Forum Internet Global untuk Memerangi Keganasan (GIFCT) yang menghimpunkan industri teknologi, kerajaan, masyarakat sivil dan dunia akademik untuk memerangi keganasan dan aktiviti pelampau yang ganas dalam talian.

Berkongsi Sumber

Menyokong organisasi yang berdedikasi demi keselamatan

Kami menyokong organisasi yang berdedikasi demi keselamatan dalam talian dan celik media di seluruh dunia menerusi program mantap yang menawarkan latihan dan bahan seperti Be Internet Awesome, Jeda YouTube dan Google News Lab. Selain itu, Google dan YouTube mengumumkan geran berjumlah $13.2 juta kepada Rangkaian Semakan Fakta Antarabangsa (IFCN) untuk menyokong rangkaian mereka yang melibatkan 135 organisasi semakan fakta. Secara keseluruhan, kerjasama kami telah melengkapi lebih 550 ribu wartawan dengan kemahiran pengesahan digital dan kami telah melatih 2.6 juta wartawan dalam talian.

Berkongsi Safety API secara aktif

Kami berkongsi alat yang membantu organisasi lain melindungi platform dan pengguna mereka daripada kandungan berbahaya.

GSEC DUBLIN

Menggalas Tanggungjawab kandungan di Dublin

Pusat Kejuruteraan Keselamatan Google untuk Tanggungjawab Kandungan di Dublin ialah hab serantau bagi pakar Google yang berusaha menangani penyebaran kandungan yang menyalahi undang-undang dan berbahaya di samping membolehkan kami berkongsi usaha ini dengan penggubal dasar, penyelidik dan pengawal selia. Rangkaian Pusat Kejuruteraan Keselamatan Google kami memberi pasukan kami ruang, ilham dan sokongan untuk membangunkan penyelesaian generasi seterusnya agar dapat membantu untuk meningkatkan keselamatan dalam talian.

Pengalaman melayari Internet yang lebih berguna dan selamat — inilah tujuannya.

Kesan usaha kami untuk menyediakan maklumat dan kandungan yang boleh dipercayai tidak pernah sepenting ini. Untuk berubah seiring dengan cabaran penyaringan kandungan, kami akan terus melabur dalam pembangunan dan peningkatan dasar, produk dan proses yang memberi anda ketenangan fikiran di samping membina pengalaman dalam talian yang lebih selamat untuk semua.

Fahami cara Google
memastikan keselamatan semua orang dalam talian.