Prinsip privasi dan keselamatan kami.

Kami membina privasi yang sesuai untuk semua orang. Melindungi privasi dan keselamatan pengguna kami ialah tanggungjawab yang wujud daripada penghasilan produk dan perkhidmatan yang percuma dan boleh diakses oleh semua orang. Perkara ini amat penting tatkala teknologi berkembang dan keperluan keselamatan berubah. Kami berpegang pada prinsip ini untuk memandu produk kami, proses kami dan kakitangan kami dalam memastikan data pengguna dirahsiakan, selamat dan terjamin.

1.

Hormati pengguna kami.
Hormati privasi mereka.

Prinsip ini mewakili satu kepercayaan teras yang telah mempengaruhi segala-gala yang telah kami hasilkan sejak mula dan segala-gala yang akan kami hasilkan pada masa hadapan. Apabila orang ramai menggunakan produk kami, mereka mengamanahkan maklumat mereka kepada kami dan kami bertanggungjawab untuk memelihara amanah ini dengan baik. Ini bermakna sentiasa berfikir tentang jenis data yang kami gunakan, cara kami menggunakan data tersebut dan cara kami melindunginya.

2.

Menerang secara jelas tentang
data yang kami kumpul
dan tujuannya.

Untuk membantu orang ramai membuat keputusan termaklum tentang cara mereka menggunakan produk Google, kami memudahkan mereka memahami jenis data yang kami kumpul, cara data tersebut digunakan dan tujuannya. Ketelusan bermakna menjadikan maklumat ini tersedia, difahami dan boleh diambil tindakan.

3.

Tidak menjual maklumat
peribadi pengguna
kepada sesiapa sahaja.

Kami menggunakan data untuk meningkatkan pengalaman anda dengan produk Google seperti Search dan Maps. Kami turut menggunakan data untuk menyampaikan iklan yang lebih berkaitan. Walaupun iklan ini membantu membiayai perkhidmatan kami dan menjadikannya percuma untuk semua orang, kami perlu menjelaskan bahawa maklumat peribadi pengguna kami tidak dijual.

4.

Mudahkan orang ramai
mengawal privasi
mereka.

Setiap orang mempunyai keutamaan yang berbeza tentang privasi. Setiap Akaun Google dibuat dengan kawalan data yang boleh dihidupkan/dimatikan. Oleh itu, pengguna kami boleh memilih tetapan privasi yang sesuai untuk mereka. Seiring dengan perkembangan teknologi, kawalan privasi kami juga berkembang. Ini memastikan privasi sentiasa merupakan pilihan individu yang dimiliki oleh pengguna.

5.

Membolehkan orang
untuk menyemak, mengalihkan,
atau memadamkan data mereka.

Kami percaya bahawa setiap pengguna seharusnya dapat mengakses maklumat peribadi yang telah mereka kongsi dengan kami – pada bila-bila masa dan atas sebarang sebab. Itulah sebabnya kami terus memudahkan orang mengakses dan menyemak data mereka, memuat turun dan mengalihkan data tersebut ke perkhidmatan lain jika mereka mahu atau memadamkan data itu sepenuhnya.

6.

Bina teknologi
keselamatan
terkukuh
dalam produk kami.

Menghormati privasi pengguna kami bermaksud melindungi data yang mereka amanahkan kepada kami. Untuk memastikan setiap produk dan perkhidmatan Google selamat untuk pengguna kami, kami terus-menerus menghasilkan dan menggunakan salah satu infrastruktur keselamatan yang paling canggih di dunia. Ini bermakna sentiasa mengukuhkan teknologi keselamatan terbina dalam kami untuk mengesan serta melindungi daripada ancaman dalam talian yang semakin berkembang, sebelum ancaman tersebut sempat sampai kepada pengguna kami.

7.

Kepimpinan melalui teladan
untuk memajukan keselamatan dalam talian
bagi semua orang.

Memastikan pengguna selamat dalam talian bukan tanggungjawab Google semata-mata – tanggungjawab ini menjangkau ke seluruh internet. Google merupakan syarikat pertama yang menghasilkan banyak standard keselamatan yang kita semua gunakan hari ini. Kami juga terus mencipta inovasi teknologi keselamatan baharu yang boleh digunakan oleh semua orang. Kami berkongsi pembelajaran, pengalaman dan alatan keselamatan kami dengan rakan kongsi, organisasi dan pesaing di seluruh dunia, kerana keselamatan seluruh internet memerlukan kerjasama seluruh industri.