Langkau kepada Kandungan

Hero_Desktop@2x.jpg

Pusat kawalan sehenti: Google Account

Stephan Micklitz dan Jan Hannemann menghabiskan masa bertahun-tahun untuk membangunkan alat yang membolehkan pengguna menentukan data yang mahu dikongsi dengan Google - dan data yang mahu mereka rahsiakan

Kongsi

Apabila Stephan Micklitz memberitahu orang ramai bahawa beliau bekerja di Google, beliau sering diajukan dengan pertanyaan “mengapa anda memerlukan begitu banyak data?” Jawapan yang diberikan olehnya: “Data boleh menjadikan produk Google lebih berguna bagi anda — seperti menyampaikan hasil carian anda dalam bahasa yang tepat atau mengesyorkan laluan yang paling pantas untuk pulang ke rumah. Namun begitu, saya sentiasa menegaskan bahawa anda boleh memilih cara Google menyimpan data anda dan sama ada kami menggunakan data tersebut untuk menyesuaikan produk kami untuk anda atau tidak. Pengguna sentiasa mahu melihat sendiri sebelum mempercayai saya!”

"Kami mahu memeribadikan perkhidmatan dan menjadikan reka letak lebih jelas".

Jan Hannemann

.

Micklitz sudah bekerja di Google sejak 2007. Beliau merupakan salah seorang ahli kakitangan yang pertama di Munich. Beliau tidak menunggu lama untuk mengambil peranan utama dalam topik yang berkaitan keselamatan dalam talian dan privasi data. Sejak tahun 2010, Micklitz telah mengetuai pembangunan global bagi beberapa produk Google yang kritikal untuk mempertingkatkan keselamatan dalam talian dan privasi. Beliau percaya bahawa tindakan menempatkan ibu pejabat jabatan ini di Jerman pada tahun 2008 merupakan langkah yang bijak bagi pihak Google. “Google mahu berada di tempat privasi dibincangkan secara paling intensif”, kata Micklitz.

Sejak itu, banyak perkara telah berlaku. Perkara yang paling penting, pada 25 Mei 2018, Peraturan Perlindungan Data Umum (GDPR) Kesatuan Eropah dikuatkuasakan. GDPR mengawal selia penggunaan dan penyimpanan data peribadi. Micklitz masih ingat detik pada tahun 2016 apabila beliau dan rakan sekerjanya mula-mula membaca undang-undang tersebut. “Jelas sekali bahawa banyak kawalan dan alatan yang kami bina telah pun sejajar dengan GDPR -- tetapi kami juga masih ada kerja yang perlu dilakukan”, katanya. Kini, beliau mengiringi saya ke bilik persidangan tempat beliau bertemu rakan sekerjanya, Jan Hannemann.

Privacy and security@2x.jpg

Pengarah Kejuruteraan, Sephan Micklitz (kiri) bertanggungjawab terhadap privasi dan keselamatan global di Google. Beliau mengambil jurusan sains komputer di Universiti Teknikal Munich dan telah bekerja di pejabat Google di Munich sejak penghujung tahun 2007.

.

Google melancarkan alat privasi data yang pertama iaitu Papan Pemuka Google pada 2009. Micklitz dan pasukannya bertanggungjawab terhadap pembangunan Papan Pemuka Google. Dalam tempoh beberapa tahun, pelbagai fungsi tambahan telah ditambah. Bermula pada tahun 2013, pengguna berupaya mengurus data lama digital Google dengan Pengurus Akaun Tidak Aktif; pada 2014, Pemeriksaan Keselamatan ditambah, disusuli dengan Semakan Privasi pada 2015. Alatan baharu ini membimbing pengguna untuk memahami data privasi dan tetapan keselamatan mereka secara langkah demi langkah.

Pada tahun 2015, Akaun Saya dilancarkan yang menyatukan semua perkhidmatan Google. Untuk kali pertama, pengguna mempunyai pusat kawalan sehenti yang membolehkan mereka melihat data peribadi mereka yang disimpan oleh Google, membuat keputusan mereka sendiri tentang maklumat yang mahu dipadamkan dan mematikan fungsi yang menyimpan data dan menjejaki aktiviti dalam talian. Pengguna juga boleh menarik diri daripada iklan diperibadikan. Akaun Saya telah dikembangkan dan dipertingkatkan secara berterusan sejak pelancaran.

"Penting bagi kami untuk memastikan setiap pengguna boleh memilih jenis maklumat yang boleh disimpan oleh Google".

Stephan Micklitz

.

Pada Jun 2018, perkhidmatan telah diubah suai dan Akaun Saya menjadi Google Account. Bersama Stephan Micklitz, Pengurus Produk Jan Hannemann bertanggungjawab terhadap pelancaran semula tersebut. Hannemann merupakan lulusan PhD dalam bidang sains komputer dan telah bekerja di pejabat Google di Munich sejak tahun 2013. Beliau membantu dalam usaha membangunkan Akaun Saya dan bertanggungjawab terhadap Google Account hingga hari ini. Rakan sekerjanya juga telah memberinya nama panggilan “En. Google Account”.

Hannemann menjelaskan reka bentuk baharu Google Account menggunakan telefon pintarnya. “Kami mahu memeribadikan perkhidmatan ini dan menjadikan reka letak lebih jelas – terutamanya untuk penggunaan pada peranti mudah alih yang memiliki skrin yang lebih kecil”. Stephan Micklitz mengambil telefon pintarnya sendiri dan membuka aplikasi tersebut. “Apabila saya menjalankan perkhidmatan ini, perisian ini menawarkan pilihan untuk menjalankan Pemeriksaan Keselamatan, sebagai contoh”, jelasnya. “Di sini, saya boleh lihat dengan serta-merta sama ada Google memiliki sebarang cadangan tentang cara saya boleh meningkatkan keselamatan Google Account saya”.

Micklitz and Hannemann@2x.jpg

Jan Hannemann (kiri) merupakan Pengurus Produk Google Account yang sebelum ini dikenali sebagai Akaun Saya. Perkhidmatan ini merupakan pusat kawalan sehenti untuk pengguna, membenarkan mereka untuk memeriksa keselamatan dan privasi mereka.

.

Micklitz dan Hannemann menjadikan Google Surveys sebagai asas usaha pembangunan produk mereka dengan mendalami cara individu di seluruh dunia menggunakan perkhidmatan berasingan dan sikap umum mereka. “Orang Eropah - khususnya orang Jerman - selalunya lebih ragu-ragu apabila melibatkan penggunaan data peribadi mereka berbanding dengan orang Amerika”, kata Hannemann. “Sudah tentu ada kaitan dengan sejarah kami”. Bukan semua pengguna menentang penyimpanan data mereka. “Sesetengah orang mendapati telefon pintar yang mengingatkan mereka tentang masa untuk bertolak ke lapangan terbang sebagai sesuatu yang amat praktikal”, ujar Hannemann. “Orang lain menghargai ciri autolengkap, yang membolehkan enjin carian meramalkan istilah carian sebenar mereka. Ciri ini dan banyak lagi ciri lain hanya dapat dihasilkan apabila pengguna membenarkan kami menggunakan data mereka untuk disesuaikan kepada produk kami untuk mereka.

Apabila menyentuh hal privasi, Stephan Micklitz mengatakan, tidak akan pernah ada satu penyelesaian yang seragam. Hal ini sebahagiannya disebabkan oleh hakikat bahawa setiap orang ialah individu yang berbeza dan keperluan pengguna berubah seiring dengan berlalunya masa. “Kami perlu memastikan bahawa setiap pengguna boleh memilih maklumat yang dibenarkan untuk disimpan oleh Google. Kami sentiasa menambah baik alatan kami untuk merealisasikan perkara itu”.

.

Fotograf: Conny Mirbach

Kembali kepada bahagian atas halaman