Langkau kepada Kandungan

Hero_Desktop@2x.jpg

Cara mengambil data anda

Anda mahu memuat turun data peribadi kepada komputer anda atau memindahkan data kepada penyedia lain? Perkara ini boleh dilakukan dengan Google Takeout, jelas Stephan Micklitz dan Greg Fair daripada Google.

Kongsi

En. Micklitz dan En. Fair, anda berdua bertanggungjawab terhadap Google Takeout. Apakah kegunaan Google Takeout?

Stephan Micklitz, Pengarah Kejuruteraan pasukan Privasi dan Keselamatan Google: Google Takeout membenarkan anda, sebagai contoh, memuat turun foto, kenalan, e-mel, masukan kalendar atau fail muzik yang disimpan pada Google Drive kepada komputer anda atau untuk dipindahkan kepada penyedia lain.

Greg Fair, Pengurus Produk Google Takeout: Saya dan isteri saya mempunyai dua orang anak dan seperti kebanyakan ibu bapa, kami ada banyak gambar mereka – secara tepatnya, sebanyak 600 gigabait foto. Apabila pemacu keras kami yang mengandungi semua foto itu ranap, saya berasa sangat lega kerana saya turut menyimpan semua foto tersebut pada Google Photos. Saya boleh menggunakan Google Takeout untuk memuat turun gambar kepada pemacu keras baharu.

Google Product Manager@2x.jpg

Pengurus Produk Google, Greg Fair yang bertanggungjawab terhadap Google Takeout, yang membolehkan pengguna untuk bukan sahaja memuat turun data mereka daripada Google, bahkan memindahkan data kepada penyedia lain.

Bagaimanakah pengguna menggunakan Takeout?

Fair: Kebanyakan daripada pengguna membuat sandaran semua data yang disimpan pada Google Drive.

Micklitz: Perkara itu agak tidak rasional kerana data sebenarnya jauh lebih selamat pada Google Drive berbanding dengan kebanyakan peranti storan di rumah kami.

Fair: Di rumah, mungkin kucing kencing pada pemacu keras atau anak-anak terpecahkan atau mungkin berlaku kebakaran. Di Google, setiap fail disimpan beberapa kali pada pelayan yang berbeza. Cara ini sangat selamat.

Namun, anda tetap juga membuat sandaran data pada pemacu keras, En. Fair!

Fair: Hal itu kerana isteri saya menggunakan program pengeditan imej yang tidak praktikal untuk menyimpan imej pada awan.

"Di Google, setiap fail disimpan beberapa kali pada pelayan yang berbeza. Cara ini sangat selamat."

Greg Fair

Begitu rupanya.

Micklitz: Namun, saya tidak menggunakan program seperti itu tetapi masih menyimpan salinan sandaran semua gambar saya pada pemacu keras. Data itu kepunyaan saya, maka saya mahu memiliki salinan fizikal.

Mengapa anda bersikap “tidak rasional”?

Micklitz: Kami mempunyai pertalian peribadi dan emosi terhadap foto tersebut. Terlalu banyak kenangan berkaitan foto tersebut. Sebagai pengguna, saya tidak mahu berada dalam situasi yang bergantung pada satu syarikat untuk memastikan foto saya selamat – walaupun syarikat tempat saya bekerja. Oleh sebab itu, perkhidmatan kemudahalihan seperti Google Takeout amat penting kerana perkhidmatan ini memberi pengguna kami keupayaan untuk memperoleh data mereka pada bila-bila masa – walaupun pada awan.

Google takeout@2x.jpg

Sejak bila kemudahalihan menjadi topik penting untuk Google?

Fair: Selama lebih sedekad. Kami bermula dengan membangunkan perkhidmatan kemudahalihan data berasingan. Kemudian, pada tahun 2011, Google melancarkan penyelesaian terpusat: Takeout. Sejak itu, kami telah menyepadukan banyak perkhidmatan Google dan hari ini, Takeout menyokong lebih 40 perkhidmatan.

Sementara ramai pengguna memuat turun data mereka kepada komputer, mereka jarang memindahkan data kepada perkhidmatan lain. Mengapakah ketidakseimbangan ini wujud?

Fair: Pada masa kini, pengguna boleh memindahkan data daripada Google kepada Dropbox, Box atau Microsoft Office 365 – dan sebaliknya. Kebanyakan pesaing kami belum menawarkan kemungkinan ini lagi. Untuk cuba menukar situasi itu, kami melancarkan Projek Pemindahan Data pada 2017 dan secara rasminya mengumumkan projek tersebut pada Julai 2018. Projek ini merupakan projek sumber terbuka yang menyediakan kod tanpa kos kepada syarikat untuk fungsi kemudahalihan, mendayakan pemindahan data daripada satu perkhidmatan kepada perkhidmatan lain berjalan lancar.

Micklitz: Andaikan sebuah syarikat permulaan membangunkan perkhidmatan baharu yang hebat. Kos akan menjadi terlalu mahal untuk syarikat kecil mencipta sendiri penyelesaian kemudahalihan mereka. Sebaliknya, syarikat ini boleh memilih Projek Pemindahan Data dan memindahkan kod yang sepadan ke dalam perisian mereka sendiri.

Stephan Micklitz@2x.jpg

Pengarah Kejuruteraan, Stephan Micklitz (kanan), yang bertanggungjawab terhadap privasi dan keselamatan global di Google. Beliau mengambil jurusan sains komputer di Universiti Teknikal Munich dan bekerja di pejabat Google di Munich sejak penghujung tahun 2007.

Namun, apakah manfaat yang anda dapat apabila saya bertukar kepada penyedia lain?

Fair: Kami mahu anda menggunakan perkhidmatan Google kerana perkhidmatan ini terbaik, bukan kerana anda fikir anda tidak dapat menggunakan data anda di tempat lain.

Peraturan Perlindungan Data Umum yang dikuatkuasakan pada Mei 2018, mengandungi peruntukan tentang kemudahalihan data. Adakah anda perlu menyesuaikan alat muat turun data anda untuk memenuhi spesifikasi ini?

Fair: Apabila kami membaca peraturan tersebut pada 2016, kami menyedari bahawa kami telah melakukan usaha yang agak baik dari segi kemudahalihan. Pada masa itu, kami mengusahakan topik tersebut sejak sekian lama secara intensif.
Micklitz: Kami gembira kerana akhirnya topik ini mendapat perhatian yang sewajarnya. Pada masa ini, kemudahalihan masih merupakan aspek khusus yang tidak menarik minat ramai pengguna. Namun, kami percaya perkara ini akan berubah dalam beberapa tahun.

"Anak-anak saya pasti ada gambar dari zaman kanak-kanak mereka, sama seperti saya."

Stephan Micklitz

Mengapa?

Micklitz: Orang ramai mula menyimpan data mereka pada awan. Akan tetapi, katakan sebuah syarikat bankrap dan data anda disimpan pada pelayan syarikat itu. Anda pasti ingin tahu sekiranya anda boleh mendapatkan semula data ini. Hal ini turut berkaitan dengan topik ketahanan data. Anak-anak saya pasti ada gambar daripada zaman kanak-kanak mereka, sama seperti saya dapat melihat gambar ibu bapa saya yang sudah kekuningan.

Adakah anda mahu foto digital memiliki ketahanan yang sama seperti foto analog?

Micklitz: Ya. Hal ini juga merupakan aspek perlindungan data dalam erti kata yang lebih luas – saya masih boleh menggunakan data yang saya simpan hari ini dalam tempoh 50 tahun akan datang.

.

Fotografi: Conny Mirbach

Kembali kepada bahagian atas halaman