Memudahkan pemahaman tentang data yang kami kumpul dan tujuan pengumpulan

Apabila anda menggunakan perkhidmatan Google, anda mengamanahkan data anda kepada kami. Kami bertanggungjawab terhadap ketelusan tentang data yang kami kumpul dan cara kami menggunakan data tersebut untuk menjadikan perkhidmatan kami berfungsi dengan lebih baik untuk anda.

Bersifat telus tentang data yang kami gunakan

  • Maklumat yang kami kumpulkan semasa anda menggunakan perkhidmatan-perkhidmatan kami

    Apabila anda menggunakan perkhidmatan kami - sebagai contoh, melakukan carian di Google, mendapatkan arah jalan di Peta atau menonton video di YouTube - kami mengumpul data supaya perkhidmatan tersebut berfungsi dengan lebih baik untuk anda. Ini boleh termasuk:

    • Perkara yang anda cari
    • Video yang anda tonton
    • Iklan yang anda lihat atau klik
    • Lokasi anda
    • Tapak web yang anda lawati
    • Apl, penyemak imbas dan peranti yang anda gunakan untuk mengakses perkhidmatan Google
  • Maklumat yang anda buat atau berikan kepada kami

    Apabila anda mendaftar untuk Akaun Google, anda memberi kami maklumat peribadi. Jika anda log masuk, kami mengumpul dan melindungi maklumat yang anda buat semasa menggunakan perkhidmatan kami. Ini boleh termasuk:

    • Nama, tarikh lahir dan jantina anda
    • Kata laluan dan nombor telefon anda
    • E-mel yang anda hantar dan terima di Gmail
    • Foto dan video yang anda simpan
    • Dokumen, Helaian dan Slaid yang anda buat di Drive
    • Ulasan yang anda tulis di YouTube
    • Kenalan yang anda tambahkan
    • Acara kalendar

Menggunakan data untuk menjadikan perkhidmatan Google lebih berguna kepada anda

  • Cara Peta Google membawa anda ke destinasi dengan lebih cepat

    Apabila anda menggunakan apl Peta Google, telefon anda menghantar balik bit data awanama tentang lokasi anda kepada Google. Data ini digabungkan dengan data daripada orang di sekeliling anda untuk mengenal pasti pola lalu lintas. Sebagai contoh, Peta boleh mengesan kesesakan apabila banyak kenderaan bergerak perlahan di sepanjang jalan yang sama dan memberitahu anda bahawa trafik sesak. Jadi, apabila Peta memberi anda amaran kemalangan atau cadangan jalan pintas selepas ini, anda perlu berterima kasih kepada data daripada pengguna jalan raya yang lain.

  • Cara Google meramal carian anda

    Contohnya, apabila anda mencari sesuatu dan anda membuat kesilapan menaip - entah bagaimana Google tetap tahu apa yang anda maksudkan. Model pembetulan ejaan kami menggunakan data daripada orang yang membuat kesilapan yang sama sebelumnya dan membetulkannya untuk anda. Begitulah cara kami tahu bahawa apabila anda menaip “Barsalona”, kemungkinan besar anda maksudkan “Barcelona”.

    Sejarah carian anda juga boleh membantu Google melengkapkan istilah carian anda secara automatik. Sebagai contoh, jika anda pernah mencari “penerbangan Barcelona” sebelum ini, kami mungkin akan mencadangkannya dalam kotak carian sebelum anda selesai menaip. Jika anda peminat kelab bola sepak dan sering mencari “skor Barcelona” pula, kami mungkin akan mencadangkannya dengan serta-merta.

  • Cara YouTube mencari video yang ingin anda tonton

    YouTube mencadangkan video yang mungkin anda sukai berdasarkan video yang pernah anda tonton dan video yang pernah ditonton oleh orang yang mempunyai sejarah tontonan yang serupa dengan anda. Kami juga mendapat petunjuk tentang topik yang popular dan sohor kini berdasarkan video yang ditonton oleh orang ramai. Ini membantu kami mencadangkan video merentasi pelbagai genre - seperti runut muzik, tutorial "cara untuk" dan berita popular - untuk anda pilih.

  • Cara Autolengkap Chrome melengkapkan borang untuk anda

    Setiap kali anda membuat pembelian atau mendaftar untuk akaun dalam talian, anda menghabiskan banyak masa mengisikan maklumat peribadi anda dalam borang. Apabila anda menggunakan Chrome, kami boleh menyimpan butiran seperti nama, alamat, nombor telefon, alamat e-mel dan maklumat pembayaran supaya kami boleh melengkapkan borang sedemikian secara automatik untuk anda. Anda boleh mengedit medan autolengkap tertentu atau melumpuhkan tetapan ini sama sekali pada bila-bila masa.

  • Cara Carian Google membantu anda mencari maklumat anda sendiri

    Carian Google boleh mengambil maklumat yang berguna daripada Gmail, Google Photos, Kalendar dan banyak lagi serta memaparkannya dalam hasil carian peribadi anda supaya anda tidak perlu bersusah-payah mencarinya sendiri. Anda hanya perlu menaip ungkapan carian seperti “janji temu doktor gigi”, “tunjukkan gambar saya di tepi pantai” atau “di mana tempahan hotel saya”. Selagi anda log masuk, kami akan mendapatkan maklumat ini daripada perkhidmatan Google yang lain dan memaparkannya kepada anda dengan hanya satu langkah.

  • Cara Google Assistant boleh membantu anda melaksanakan tugas

    Sama ada anda berada di rumah atau dalam perjalanan, Assistant sentiasa bersedia untuk membantu anda. Apabila anda mengemukakan soalan kepada Assistant atau memberinya tugas, Assistant akan menggunakan data daripada perkhidmatan Google yang lain untuk mendapatkan perkara yang anda perlukan. Contohnya, jika anda bertanya "Apakah kedai kopi yang berdekatan?" atau "Adakah saya perlu membawa payung esok?", Assistant akan menggunakan maklumat daripada Peta dan Carian serta lokasi, minat dan pilihan anda untuk memberikan jawapan yang paling berkaitan. Anda boleh melawati alat Aktiviti Saya dalam Akaun Google pada bila-bila masa untuk melihat atau memadamkan data yang dikumpul daripada interaksi anda dengan Assistant.

Membina produk dengan mengutamakan privasi anda

  • Semakan privasi ialah langkah utama dalam pembangunan produk kami

    Kami bergantung pada pasukan privasi dalaman kami dan proses semakan yang menyeluruh untuk sebarang pelancaran produk baharu. Kami berdedikasi di setiap peringkat pembangunan produk untuk menjadikan privasi pertimbangan utama – daripada kejuruteraan sehinggalah pengurusan produk. Langkah ini membantu kami memastikan bahawa pengguna boleh mempercayai produk Google yang mereka gunakan setiap hari.

Ketahui lebih lanjut tentang usaha keselamatan kami

Keselamatan anda

Kami melindungi anda dalam talian dengan keselamatan yang termaju dalam industri.

Privasi anda

Kami membina privasi yang sesuai untuk semua orang.

Untuk keluarga

Kami membantu anda mengurus tetapan yang sesuai dalam talian untuk keluarga anda.