Ruang anda sendiri dalam Chrome
Cara penggunaan sebenar mengilhamkan inovasi pada penyemak imbas Chrome. Sabine Borsay dan David Roger daripada Pusat Kejuruteraan Keselamatan Google menjelaskan usaha kerjasama mereka terhadap ciri profil Chrome yang baharu.
“Semua ahli keluarga saya telah menggunakan penyemak imbas Chrome pada sebuah komputer yang dikongsi sejak sekian lama”, jelas David Roger, yang bekerja sebagai pembangun perisian di Google yang berpusat operasi di Paris. “Kadangkala, komputer tersebut digunakan untuk membuka 50 laman web pada masa yang sama. Contohnya, apabila saya ingin mencari video YouTube yang telah saya tonton baru-baru ini, saya turut melihat klip video Minecraft dalam sejarah carian – situasi ini sangat kucar-kacir.” Tidak mungkin David seorang sahaja yang mengalami masalah ini. Sesebuah keluarga yang berkongsi sebuah komputer dan menggunakan penyemak imbas Chrome yang sama bukanlah sesuatu yang luar biasa. Situasi ini menjadi lebih ketara semasa wabak koronavirus. Ibu bapa, penjaga dan anak-anak mereka semuanya akan menggunakan komputer untuk membaca, membuat penyelidikan dan mencari sumber hiburan pada masa yang sama. Kekeliruan boleh berlaku apabila tetapan peribadi hilang atau sejarah carian telah bercampur-aduk.
Biasanya, idea timbul daripada orang yang biasa menggunakan produk tersebut.
Sabine Borsay faham tentang perkara yang dijelaskan oleh David Roger. Beliau merupakan Pengurus Produk di Pusat Kejuruteraan Keselamatan Google (GSEC), pusat pembangunan global untuk privasi dan keselamatan Internet Google di Munich. Beliau membentangkan masalah khusus ini di salah satu Hari Teknologi GSEC, yang dikendalikan untuk membolehkan pasukan rentas fungsi bekerja bersama-sama menghadapi pelbagai cabaran yang menarik. Idea membuat Profil Chrome berasingan tercetus pada salah satu hari ini. Ciri ini kini tersedia dalam Chrome dan ini membolehkan setiap pengguna membuat profil diperibadikan yang boleh dipilih setiap kali penyemak imbas dibuka. Contohnya, anda boleh mengubah warna latar dan penanda halaman serta kata laluan boleh diatur dan disimpan secara berasingan.
Penerokaan lanjut berkenaan dengan proses pembangunan profil Chrome daripada idea asal sehingga pelaksanaan akhir merupakan sesuatu yang menarik. Pengurus Produk seperti Sabine Borsay meluangkan masa setiap hari mengusahakan aplikasi tertentu seperti penyemak imbas Chrome. “Kami mempertimbangkan cara Chrome patut dibangunkan sepanjang beberapa tahun akan datang. Kami turut memikirkan tentang jenis masalah yang patut kami tangani dan cara kami patut menyepadukan penyelesaian,” jelas Sabine. “Sebahagian besar daripada kerja kami adalah berdasarkan perkara yang kami hadapi dalam kehidupan sendiri” setuju David Roger. “Kebanyakan projek kami di Google bermula sedemikian dan idea biasanya tercetus daripada orang yang biasa menggunakan produk tersebut”.
Sebaik sahaja Sabine menerima kelulusan untuk mengusahakan profil Chrome, beliau membentuk sebuah pasukan yang terdiri daripada sepuluh orang daripada pelbagai jabatan, termasuk pakar pengalaman pengguna dan pembangun daripada pasukan David Roger. David telah mengusahakan pembangunan Chrome selama lebih daripada sepuluh tahun dan telah terlibat dalam pelbagai projek, termasuk reka bentuk antara muka pengguna. Pasukan beliau telah membina prototaip profil Chrome yang telah diuji oleh kumpulan pengguna yang telah dipilih secara khusus.
Sementara itu, Sabine bekerjasama dengan pakar penyelidikan pengguna untuk mengenal pasti sekumpulan orang yang menggunakan Chrome secara peribadi, di tempat kerja atau bersama pengguna lain. “Selain menemu bual kumpulan ini secara bersemuka tentang pengalaman mereka, kami meminta mereka menyimpan diari tentang cara mereka menggunakan profil Chrome selama dua bulan”. Pasukan profil turut meminta pengguna menjelaskan perkara yang berlaku apabila mereka berdepan bahagian aplikasi yang tidak difahami oleh mereka.
Kami mempertimbangkan cara Chrome patut dibangunkan sepanjang beberapa tahun akan datang.
Di Paris, David menganalisis data daripada pengguna Chrome Beta. Pengguna Chrome Beta dibenarkan untuk mencuba ciri baharu sebelum pengguna lain, dan boleh bersetuju untuk menyerahkan data penggunaan kepada Google bagi tujuan pembangunan produk. Maklumat yang dikumpulkan daripada ratusan ribu pengguna Chrome Beta telah banyak membantu sepanjang pembangunan profil Chrome. Contohnya, sesetengah orang mengalami masalah untuk klik pada butang tertentu, manakala orang lain pula tidak memahami sebahagian daripada teks penjelasan. David menjelaskan bahawa perubahan dan peningkatan boleh dibuat kepada produk berdasarkan maklum balas ini dan bahawa kaedah bekerja berlelaran sering digunakan ketika proses pembangunan produk digital. Pengguna diberi akses kepada prototaip dan memberikan maklum balas tentang masalah yang mungkin berlaku. Pembangun kemudiannya mengubah suai produk tersebut dan menyerahkan produk untuk diuji semula.
Masalah tertentu telah dibenderakan semasa ujian, seperti Chrome perlahan ketika dimulakan. Masalah ini menggesa David memanggil pembangun beliau untuk bersama-sama menjalankan hackathon. “Kami menumpukan semua tenaga kami selama satu minggu untuk mempercepat semula penyemak imbas tersebut.” Pasukan tersebut telah melihat beberapa kaedah yang boleh digunakan sebagai penyelesaian. “Akhirnya, kami telah mengenal pasti beberapa teknologi berbeza yang kami bentangkan kepada rakan sekerja kami di Munich”, sambung David.
Pengalaman yang diperoleh semasa menjayakan fasa projek ini sangat bermakna bagi Sabine. “Situasi beginilah yang membuatkan kami bekerja seperti sebuah syarikat awalan. Kami mencuba banyak perkara, berbincang antara satu sama lain pada setiap hari dan menyasarkan penyelesaian terbaik.” Keupayaan untuk menggunakan profil Chrome berbeza telah dilancarkan baru-baru ini, namun tugas mereka masih belum selesai buat pasukan yang dipimpin oleh Sabine Borsay dan David Roger. Mereka terus mengusahakan produk menggunakan maklum balas dan cadangan untuk peningkatan, termasuk daripada keluarga David, yang sudah tentu mempunyai profil Chrome individu mereka sendiri sekarang.
Foto: Stephanie Füssenich (4), Florian Generotzky (3).