Cara mengambil data anda

Ingin memuat turun data peribadi pada komputer anda atau memindahkan data tersebut kepada penyedia lain? Ia boleh dilakukan dengan Google Ambilan, jelas Stephan Micklitz dan Greg Fair daripada Google.

En. Micklitz dan En. Fair, anda berdua bertanggungjawab terhadap Google Ambilan. Apakah fungsi sebenar Google Ambilan?

Stephan Micklitz, Pengarah Kejuruteraan pasukan Privasi dan Keselamatan Google: Google Ambilan membolehkan anda, contohnya, memuat turun foto, kenalan, e-mel, masukan kalendar atau fail muzik yang disimpan pada Google Drive ke komputer anda atau untuk memindahkan data tersebut kepada penyedia lain.

Greg Fair, Pengurus Produk Google Ambilan: Saya dan isteri mempunyai dua orang anak dan, seperti kebanyakan ibu bapa, kami memiliki banyak foto mereka – lebih tepat lagi sebanyak 600 gigabait foto. Apabila pemacu keras kami yang mengandungi semua foto itu ranap, saya berasa sangat lega kerana saya turut menyimpan kesemua foto tersebut pada Google Photos. Kemudian, saya boleh menggunakan Google Ambilan untuk memuat turun gambar ke pemacu keras baharu.

Greg Fair
Telefon pintar

Pengurus Produk Google Greg Fair bertanggungjawab terhadap Google Ambilan, yang membolehkan pengguna memuat turun data mereka daripada Google dan memindahkan data tersebut kepada penyedia lain.

Bagaimanakah orang menggunakan Ambilan?

Fair: Biasanya mereka menggunakan Ambilan untuk menyandarkan semua data yang disimpan pada Google Drive.

Micklitz: Perkara ini agak tidak rasional kerana data sebenarnya jauh lebih selamat pada Google Drive berbanding kebanyakan peranti storan di rumah kita.

Fair: Kucing mungkin akan kencing pada pemacu keras atau anak-anak mungkin merosakkan cakera keras itu, atau mungkin berlaku kebakaran di rumah. Di Google, setiap fail disimpan beberapa kali pada pelayan yang berbeza. Cara ini lebih selamat.

Namun anda masih menyandarkan data anda pada pemacu keras, En. Fair!

Fair: Ini disebabkan isteri saya menggunakan program pengeditan imej, jadi menyimpan imej dalam awan tidak praktikal.

"Di Google, setiap fail disimpan beberapa kali pada pelayan yang berbeza. Cara ini lebih selamat."

Greg Fair

Saya faham.

Micklitz: Akan tetapi, contohnya, saya tidak menggunakan program seperti itu, namun masih menyimpan salinan sandaran semua gambar saya pada pemacu keras. Itu data saya, jadi saya mahu memiliki salinan fizikal.

Mengapakah tingkah laku anda “tidak rasional”?

Micklitz: Kami mempunyai hubungan emosi dan sangat peribadi dengan foto. Terlalu banyak kenangan berkaitan foto tersebut. Sebagai pengguna, saya tidak mahu berada dalam situasi yang bergantung pada satu syarikat untuk memastikan foto saya selamat – walaupun syarikat tempat saya bekerja. Itulah sebabnya perkhidmatan kemudahalihan seperti Google Ambilan sangat penting, kerana membolehkan pengguna kami mendapatkan semula data mereka pada bila-bila masa – walaupun data tersebut berada dalam awan.

Bilakah kemudahalihan mula menjadi topik penting untuk Google?

Fair: Selama lebih sedekad. Kami bermula dengan membangunkan perkhidmatan kemudahalihan data individu. Kemudian, pada tahun 2011, Google melancarkan penyelesaian terpusat: Ambilan. Kami telah menyepadukan lebih banyak perkhidmatan Google sejak itu, dan kini Ambilan menyokong lebih daripada 40 perkhidmatan.

Walaupun ramai pengguna memuat turun data mereka pada komputer sendiri, mereka jarang memindahkan data tersebut kepada perkhidmatan lain. Mengapakah ketidakseimbangan ini wujud?

Fair: Hari ini, pengguna boleh memindahkan data daripada Google kepada Dropbox, Box atau Microsoft Office 365 – dan sebaliknya. Kebanyakan pesaing kami belum menawarkan kemungkinan ini lagi. Untuk cuba mengubah situasi ini, kami melancarkan Projek Pemindahan Data pada tahun 2017 dan mengumumkan secara rasmi projek ini pada Julai 2018. Ini merupakan projek sumber terbuka yang menyediakan kod percuma untuk fungsi kemudahalihan kepada syarikat, yang membolehkan pemindahan data daripada satu perkhidmatan kepada perkhidmatan lain berjalan lancar.

Micklitz: Katakan syarikat permulaan membangunkan perkhidmatan baharu yang hebat. Kos akan menjadi terlalu mahal untuk syarikat kecil mencipta sendiri penyelesaian kemudahalihan mereka. Sebaliknya, syarikat ini boleh memilih Projek Pemindahan Data dan memindahkan kod yang sepadan ke dalam perisian mereka sendiri.

Pengarah Kejuruteraan Stephan Micklitz (kanan) bertanggungjawab terhadap privasi dan keselamatan global di Google. Beliau mengambil jurusan sains komputer di Universiti Teknikal Munich dan telah bekerja di pejabat Google di Munich sejak akhir tahun 2007.

Akan tetapi apakah kaitannya dengan anda jika saya bertukar kepada penyedia lain?

Fair: Kami mahu anda menggunakan perkhidmatan Google kerana perkhidmatan Google adalah yang terbaik, bukan sebab anda berpendapat bahawa anda tidak boleh menggunakan data anda di tempat lain.

Peraturan Perlindungan Data Umum, yang berkuat kuasa pada Mei 2018, mengandungi peruntukan tentang kemudahalihan data. Adakah anda perlu menyesuaikan alat muat turun data anda untuk memenuhi spesifikasi ini?

Fair: Apabila kami mula-mula membaca peraturan itu pada tahun 2016, kami menyedari bahawa kami telah melakukan usaha yang agak baik dari segi kemudahalihan. Pada masa itu, kami telah mengusahakan topik tersebut sejak sekian lama secara intensif.

Micklitz: Kami berpendapat perhatian sewajarnya yang diberikan kepada topik ini merupakan perkara yang baik. Pada masa ini, kemudahalihan masih merupakan bidang khusus yang tidak menarik minat ramai pengguna. Akan tetapi kami percaya perkara ini akan berubah dalam masa beberapa tahun.

"Anak-anak saya seharusnya mempunyai gambar dari zaman kanak-kanak mereka, sama seperti saya."

Stephan Micklitz

Mengapa?

Micklitz: Orang ramai baru mula menyimpan data mereka dalam awan. Akan tetapi, katakan sebuah syarikat bankrap dan data anda disimpan pada pelayan syarikat itu. Anda pasti ingin tahu sekiranya anda boleh mendapatkan semula data ini. Hal ini turut berkaitan dengan topik ketahanan data. Anak-anak saya seharusnya mempunyai gambar dari zaman kanak-kanak mereka, sama seperti saya dapat melihat gambar ibu bapa saya yang kekuningan.

Adakah anda mahu foto digital mempunyai ketahanan yang sama seperti foto analog?

Micklitz: Ya. Ini juga merupakan aspek perlindungan data dalam erti kata yang lebih luas – saya masih boleh menggunakan data yang disimpan hari ini dalam tempoh 50 tahun lagi.

Fotograf: Conny Mirbach

Kemajuan keselamatan siber

Ketahui cara kami memastikan lebih ramai pengguna selamat dalam talian berbanding dengan pihak lain di dunia.

Ketahui lebih lanjut