Semakan latar belakang

[Di sebalik tabir] Cara Google menjadikan Internet lebih selamat

Infrastruktur

Google mengendalikan salah satu infrastruktur awan terbesar dan paling selamat di dunia. Pusat data Google terletak di serata dunia dan disambungkan dengan kabel optik gentian dasar laut. Keseluruhan sistem dipantau dengan teliti sepanjang masa.

Google Play Protect

Google Play Protect menyemak kira-kira 50 bilion apl Android untuk mengesan perisian hasad dan virus setiap hari. Ujian pertama berlaku apabila penyedia perkhidmatan cuba memuat naik apl ke Google Play Store. Google Play Protect juga memainkan peranan apabila pengguna ingin memuat turun apl atau menggunakan apl itu pada peranti mereka. Apabila perkhidmatan tersebut mengenal pasti apl berkemungkinan berbahaya, Google memberikan amaran kepada pengguna atau mengalih keluar apl itu secara automatik. Untuk mendapatkan maklumat lanjut, lawati android.com.

Penyulitan

Google menggunakan pelbagai teknologi penyulitan seperti HTTPS dan Keselamatan Lapisan Pengangkutan (dikenali sebagai TLS atau "Transport Layer Security") untuk melindungi e-mel yang dihantar melalui Gmail dan fotograf yang disimpan oleh pengguna pada awan. Enjin carian Google juga menggunakan protokol HTTPS sebagai standard.

Menyemak permintaan data

Google tidak memberikan agensi perisikan atau kerajaan lain akses terus kepada data pengguna. Perkara ini diamalkan di Amerika Syarikat dan Jerman sama seperti setiap negara di dunia. Jika pihak berkuasa membuat permintaan untuk mengakses data pengguna, Google akan meneliti permintaan tersebut dan tidak akan memberikan akses tanpa alasan yang munasabah. Google telah menerbitkan laporan ketelusan termasuk permintaan untuk data sejak sekian lama. Untuk membaca laporan ini, lawati transparencyreport.google.com.

Pelayaran selamat

Teknologi Penyemakan Imbas Selamat Google melindungi pengguna daripada laman berbahaya dan pelaku berniat jahat. Ia berteraskan penggunaan pangkalan data yang mengandungi alamat laman web yang mencurigakan. Pengguna akan menerima amaran jika cuba melawati salah satu laman tersebut. Google juga menggunakan kecerdasan buatan untuk bertindak balas terhadap strategi pancingan data yang baru dibangunkan. Untuk membaca lebih lanjut, lawati safebrowsing.google.com.

Mengatasi kelemahan

Setiap tahun, Google melaburkan berjuta-juta dolar dalam projek penyelidikan – dan dalam “ganjaran pepijat.” Ganjaran ini diberikan kepada pakar IT yang membantu syarikat menemukan kelemahan keselamatan tersembunyi. Salah seorang pakar tersebut ialah Ezequiel Pereira yang berusia 18 tahun dari Uruguay, beliau telah membantu Google mendedahkan beberapa jurang ini. Pada tahun lepas, beliau menerima ganjaran sebanyak $36,337 atas penemuan pentingnya.

Project Zero

Pasukan keselamatan elit Google bekerja keras untuk mengatasi kelemahan keselamatan sebelum penggodam dan pencuri data dapat menemukan kelemahan tersebut. Pakar memanggil jurang ini sebagai “kerentanan sifar hari”, itulah sebabnya pasukan itu dinamakan Project Zero. Pasukan ini tidak menumpukan pada perkhidmatan Google semata-mata; mereka juga mencari kelemahan dalam perkhidmatan pesaing, agar mereka dapat memaklumkan tentang kelemahan tersebut dan turut melindungi pengguna mereka. Untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang kerja Project Zero, lawati googleprojectzero.blogspot.com.

Bantuan untuk penyedia perkhidmatan IT lain

Google menjadikan teknologi keselamatannya tersedia kepada syarikat lain tanpa bayaran dikenakan dalam usaha untuk memastikan Internet selamat secara konsisten, walaupun di luar realma Google. Contohnya, pembangun di syarikat lain boleh menggunakan Pengimbas Keselamatan Awan untuk mencari kerentanan. Dan teknologi Penyemakan Imbas Selamat Google digunakan oleh penyemak imbas Safari Apple dan Mozilla Firefox.

Perlindungan spam oleh AI

Google menggunakan pembelajaran mesin untuk melindungi pengguna Gmail daripada spam. Rangkaian Neural menganalisis berbilion e-mel yang tidak dikehendaki atau tidak diingini dan mengenal pasti corak yang membolehkan mereka mengesan spam. Pendekatan ini telah terbukti berjaya. Kini, kurang satu daripada seribu e-mel spam berjaya masuk ke dalam peti masuk pengguna – dan jumlah itu semakin berkurangan setiap hari!

Ketahui lebih lanjut di:

safety.google

Ilustrasi: Robert Samuel Hanson

Kemajuan keselamatan siber

Ketahui cara kami memastikan lebih ramai pengguna selamat dalam talian berbanding dengan pihak lain di dunia.

Ketahui lebih lanjut